2009 telah melabuhkan tirainya beberapa hari lalu. Sedar tak sedar, sudah 2 bulan gua abaikan sebuah blog bernama Chasing Pelangi. Bukannya tidak punya idea, cuma pengurusan masa gua yang senantiasa kelam kabut telah memaksa gua untuk menghindarkan diri dari blog ini. To stay commited in something kebiasaannya merupakan cabaran besar bagi gua sejak dari dulu lagi { itu tidak bermaksud rumahtangga gua kucar kacir, harap maklum. ;) }.
Apakah yang telah berlaku kepada seorang lelaki bernama Farid sepanjang tahun 2009? My my, I just don't know where to begin. Yang nyata bagi gua tahun lepas telah berlalu dengan sungguh pantas. Orang kata bila kita sibuk kita seakan tidak sedar masa berlalu. True true. Sibukkah gua? Mungkin.
Dari segi karier, untuk kali pertama secara rasminya gua telah mendapat pengiktirafan dari majikan; dedikasi gua kepada kerja adalah menakjubkan, dan contoh buat semua. Tidak lupa juga sifat endurance, perseverance dan well composed bila berhadapan tekanan. Heh. Terlalu tinggi rasanya pujian tersebut untuk seorang roman picisan seperti gua. Honestly, gua hanya melakukan apa yang sepatutnya gua lakukan. Bagi gua bekerja adalah seperti satu terapi, atau escapism. Escapism bagi stres di rumah adalah di pejabat, dan escapism bagi stres di pejabat adalah di rumah. Of course, the ultimate escapism adalah pada waktu di mana anda berdua-duaan denganNya.
Tahun 2009 juga telah menemukan gua dengan beberapa ibu bapa yang telah dianugerahkan anak-anak istimewa, sama seperti gua. Bermula dengan Zul dan Ina, dan anak mereka Nabilah, sehinggalah yang terbaru, Shah dan Zura serta anak mereka Habib. Sungguh, betapa hati gua teramat bersyukur kepada Ilahi apabila kali pertama mengetahui bahawa di dalam perjuangan gua dan Ita membesarkan Sara, kami tidak terkapai keseorangan dan kami ada 'bahu' untuk bertukar-tukar perasaan serta 'tangan' untuk kami capai ketika kami jatuh. Akhirnya, kami benar-benar ada kawan!
2009 telah menyaksikan yang gua telah banyak menangis, walaupun kadangkala gua tidak tahu apa yang gua tangiskan. Gua cukup benci bila gua terpaksa memandu keseorangan, kerana bila ia berlaku, kepala gua secara automatik akan bertukar menjadi pemain video yang akan memainkan montaj-montaj memori di dalam otak gua; yang mana detik paling jelas adalah detik di mana doktor memberitahu yang anak gua akan menjadi tidak se'normal' orang lain (I can still remember every single line of it). Gua akui ini mungkin berpunca daripada sisa-sisa hati gua yang masih belum lagi redha di atas perkara yang telah berlaku, atau sisa-sisa hati tersebut terletak betul-betul di atas sempadan di antara ketidak-redhaan itu, dan sifat terlalu inginkan tahu mengapa gua dipilih oleh Allah untuk menghadapi ujian ini.
Yang nyata, gua tetap seorang manusia biasa, dan seorang hamba, yang tidak akan lari dari hati yang sentiasa bertanya. Pertanyaan-pertanyaan tersebut masih lagi menghantui gua, walaupun tidak sehebat dulu, dan gua tidak pasti bilakah akan lenyap terus daripada minda gua. Adakah Sara akan terus kekal begini? Adakah dia hanya akan tahu menangis dan senyum sahaja seumur hidupnya? Adakah gua perlu mendukungnya sehingga gua tidak lagi mampu 'mendukung' berat diri gua sendiri? Adakah gua mampu untuk menahan hati ini dari rasa terkilan apabila melihat anak rakan-rakan gua melangkah ke menara gading, dan bukan Sara? Adakah gua masih lagi mampu untuk berbisik pada hati gua, 'I can't fail, not this time. Sara needs me. Ita needs me. I need me!' sampai bila-bila?
...Sejujurnya, gua tak mampu untuk memikirkan barang satu jawapan pun.
Tapi gua sentiasa percaya pada harapan. Selagi fajar akan terus menyinsing pada keesokkan hari, selagi itulah harapan akan tetap ada. Walaupun harapan tersebut hanya sebesar mata jarum, tapi ia sudah cukup untuk menyalakan semangat pada hati gua untuk terus melangkah. Gua mungkin tidak ada sebarang keistimewaan, bakat, advantage, wang yang banyak, title anak dato' atau apa sahaja earthly possesions yang mampu untuk melancarkan perjalanan gua, tapi gua ada sesuatu yang mungkin tidak ada pada orang lain; semangat yang lahir dari kasih sayang gua pada Sara. Semangat itulah yang akan memberitahu gua supaya janganlah terlalu gusarkan masa hadapan, fikirkan apa yang boleh gua lakukan sekarang.
Sejak dari bait ayat, 'Your daughter's development will not be the same as other human being' memecah gegendang telinga gua, tidak ada lagi berita yang betul-betul mampu untuk menghancurkan hati gua setakat ini. Malah, hati yang hancur itu juga sudah lama ketemu pengubatnya. Hidup gua kini sudah ada fokus, dan doa gua agar tidak sesekali gua lupa objektif sebenar fokus gua itu.
Insya Allah, 2010 bakal menyaksikan gua akan melipat gandakan usaha gua demi keluarga gua. Laungan 'Ayuh!' untuk gua, Ita, Sara dan rakan-rakan semua! Godspeed!